Takaful IKHLAS Terima Anugerah Sama Kali Ketiga

Harian Metro, 1 Mac 2011

TAKAFUL Ikhlas Sdn Bhd (Takaful Ikhlas) dipilih sebagai Penyedia Takaful Terbaik bagi anugerah Berita Kewangan Islam 2010 buat kali ketiga berturut-turut.

Anugerah itu adalah hasil undian pengamal dan pemerhati industri kewangan Islam, diadakan buat kali keenam yang menjadi anugerah paling tulus, sahih dan kompetitif di dalam industri kewangan Islam. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, penghargaan itu satu penilaian penting kepada kualiti produk dan pasukan Takaful Ikhlas. “Takaful Ikhlas sentiasa menekankan faktor kepuasan pelanggan dan memenangi pelbagai anugerah untuk perkhidmatan produk yang ditawarkan sejak syarikat ini mula beroperasi pada 2003,” katanya di Kuala Lumpur semalam.

Sehingga hari ini, Takaful Ikhlas yang menawarkan rangkaian produk keluarga dan am yang komprehensif mempunyai lebih 1.7 juta pemegang sijil polisi berdaftar dan 7,000 ejen di seluruh Malaysia.

Takaful Ikhlas yang mula beroperasi Julai 2003 adalah anak syarikat MNRB Holdings Berhad yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia.

Takaful Ikhlas mempunyai pusat perkhidmatan pelanggannya di Pejabat Korporatnya di Bangsar South, Kuala Lumpur serta pejabat wilayah di Klang, Kota Bharu, Johor Bahru, Sungai Petani dan Kuching.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Simple n' Sweet by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP